"Hujung minggu ni ada kenduri kahwin kat rumah pak lang. Jangan pergi mana-mana pulak okay?" pesan ibu kepada Salmah.
"Ala, orang dah cakap dua minggu lepas, weekend ni orang nak tolong mak Farah, kakak dia nak aqiqah," balas Salmah sambil membuat muka cemberutnya.
"Hm, siapa keluarga Sal sebenarnya ni? Mak Farah tu minta tolong je. Maklang ni nak kenduri kena rewang-rewang semua. Siapa lagi nak tolong kalau tak kita, keluarga dia ni? Farah tu ada 12 beradik. Ramai je yang boleh tolong lagi. Utamakanlah keluarga ni dulu Sal," tegur Puan Aminah.
"Ala mak ni, Farah tu selalu ada dengan orang. Apa salahnya Sal tolong? Mak pergi jelah rumah paklang dengan maklang tu. Cakap je yang Sal ada hal lain," rungut Salmah lagi. Kali ini suaranya lebih tinggi nadanya berbanding biasa.
"Suka hati kau lah Sal. Nanti dah susah, taulah kau cari keluarga kau ni. Utamakanlah kawan kau tu. Mak nak tengok jauh mana dia ada dengan kau," balas Puan Aminah malas melayan kerenah anaknya yang jelas lebih mementingkan kawan-kawannya berbanding keluarga.
Dalam diam, Puan Aminah berdoa,
'Ya allah, kau tunjukkanlah kepada anakku Salmah betapa pentingnya keluarga berbanding kawan-kawannya itu. Amin'
********
"Sal, esok kau free tak? Aku nak ajak lepak kat Mid Valley. Semua gang kita ada," ajak Dila.
"Esok? Um. Mak aku ajak pergi dinner dengan family malam esok sebab abang-abang aku semua balik harini. Tapi takpelah. Demi kau, aku cancel jelah dinner tu. Lain kali boleh dinner lagi," putus Salmah tanpa rasa bersalah kerana memungkiri janji dengan emaknya buat kali yang entah ke berapa.
'Mesti mak marah nanti ni. Ah takpelah. Abang Chik dengan Alang tu kalau keluar jumpa kawan boleh je. Kenapa bila aku nak lepak dengan kawan takboleh pulak. Lagipun bukan senang nak jumpa gang-gang aku ni. Diorang dah lah selalu busy. Ah ! Malas nak fikir.' bisik hati Salmah.
Di rumah, tanpa rasa bersalah, Salmah terus memberitahu Puan Aminah di hadapan AbangLongnya tentang ketidakhadirannya ke dinner yang telah ditetapkan oleh emaknya sejak seminggu lalu.
"Kau ni, sibuk dengan kawan kau lah Sal ! Family kau selalu abaikan. Ingat senang ke nak dinner ramai-ramai macam ni. Ini pun nasib baik Abang Ngah kau balik jugak dari Sabah tu. Dia dah lah susah nak cuti dengan kerja dia yang macam apa je tu. Ni dia dah balik, semua dah kumpul, kau pulak nak lepak dengan kawan-kawan. Cuba utamakan keluarga kau dulu. Kawan-kawan tu nanti boleh jumpa. Kau susah nanti, bukan kawan-kawan tu yang tolong kau nanti," marah Abang Long Salmah yang terkenal dengan sikap garang dan tegasnya itu.
Puan Aminah hanya membiarkan sahaja Salmah dimarahi Abang Longnya. Sebenarnya, Puan Aminah telah tawar hati dengan sikap Salmah yang tak habis-habis mementingkan kawan-kawannya. Bila dilarang, ada sahaja dijawabnya. Itulah, inilah, macam-macam alasan diberi Salmah mempertahankan kawan-kawannya.
"Ala Abang Long ni, biarlah. Orang dah selalu dinner dengan mak. Abang Long semua tu je tak reti-reti nak balik. Pergilah dinner dengan mak. Orang nak keluar dengan kawan. Mak tu dah bosan agaknya tengok muka Sal je setiap kali dinner," lancang kata-kata Salmah.
Kali ini Puan Aminah menangis mendengarnya. Tidak pernah sekalipun dia bosan melihat muka anak-anaknya. Tergamak sungguh Salmah menuduhnya sebegitu sekali.
"Kau jangan nak biadap Salmah ! Mak menangis dengar kau cakap macam tu. Tu tengok tu ! Insaflah dik oii. Utamakanlah keluarga kau ni. Kau sakit, kau mati nanti semuanya keluarga kau yang uruskan. Bukan kawan-kawan kau tu!" tengking Abang Long Salmah.
Salmah yang tetap dengan pendiriannya melebihkan kawan-kawan itu terus bangun menuju ke bilik tanpa menoleh sedikitpun kepada maknya. Egonya meninggi saat itu.
******
Keesokannya, Salmah tetap keluar dengan kawan-kawannya. Dia tidak menghiraukan sebarang pertanyaan yang ditanya oleh setiap abangnya semasa ingin keluar tadi. Baik Abang Ngah, Abang Chik, mahupun Alangnya. Semua dibiarkan tanpa jawapan.
Sedang dia melepak, tiba-tiba Salmah pening kepala lalu tumbang. Kawan-kawannya yang tadi sedang seronok berbual-bual tergamam melihatkan kejadian itu. Namun begitu, memikirkan tiket wayang mereka yang hanya tinggal 15 minit lagi, mereka hanya meminta pertolongan orang sekeliling mereka untuk menghantar Salmah ke hospital.
Kebetulan Mak Lang Salmah lalu di hujung meja tempat Salmah dan kawan-kawan melepak, dengan penuh rasa terkejut, dia pantas menghubungi Pak Lang Salmah untuk membawa Salmah ke hospital. Kawan-kawan Salmah pula tidak seorang pun yang mengikutnya ke hospital kerana masing-masing telah membeli tiket wayang 3D ketika itu.
Dalam perjalanan, Mak Lang Salmah menghubungi Puan Aminah untuk memaklumkan peristiwa itu. Puan Aminah yang terkejut terus mengajak kesemua abang-abang Salmah untuk ke hospital. Dinner malam itu hanya dibuat di hospital sahaja oleh kerana Salmah ditahan wad untuk seketika kerana didapati tekanan darahnya rendah saat itu.
Apabila Salmah sedar, Mak Lang terus menceritakan semua yang berlaku. Salmah terkejut dengan tindakan kawan-kawannya yang sering dia utamakan itu. Tidak pernah dia sangka mereka akan membiarkan Salmah demi mengejarkan tiket wayang yang boleh ditonton di televisyen kelak.
"Sudahlah Sal. Abang Long dah cakap, utamakan keluarga kau ni. Bukan kawan-kawan kau tu. Tengok, bila dah macam ni, ada diorang nak hantar kau ke hospital? Patut ke diorang minta orang sekeliling yang uruskan kau. Padahal diorang tu kawan kau. Nasib baik ada Mak Lang kat situ. Kalau tak, AbangLong pun tak tahu lah apa akan jadi kat kau," nasihat Abang Long dengan nada geramnya terhadap kawan-kawan Salmah.
"Betul tu Sal. Kawan-kawan kau tu tak guna namanya. Tak salah kau nak lepak dengan diorang, tapi utamakan keluarga dulu. Dengan diorang tu, bila kau tak ada apa nak buat, baru lah lepak. Ingat Achik tak tahu ke kau buat mak menangis semalam? Berdosa tahu tak?" tegur Abang Chik Salmah pula.
"Sudahlah, pergi minta maaf pada mak tu Sal. Lepasni, ambillah ni sebagai pengajaran. Utamakan keluarga dulu baru kawan-kawan," tambah Alang yang nyata lebih rapat dengan Salmah berbanding abang-abangnya yang lain.
Salmah hanya mampu tunduk diam memandang dirinya yang terlantar di hospital itu. Tiba-tiba dia teringatkan emaknya yang tidak berada di situ. Pantas dia bertanya kepada Alangnya.
"Mak, maafkan Sal mak. Sal salah buat mak kecik hati dengan Sal. Maafkan Sal mak. Sal dah dapat balasanya. Lepas ni Sal janji akan utamakan keluarga dulu baru kawan-kawan Sal. Maafkan Sal mak," rayu Sal kepada Puan Aminah setelah dia memujuk abang-abangnya untuk membawanya berjumpa dengan Puan Aminah di luar bilik itu.
"Mak maafkan nak. Jangan buat lagi sayang. Mak sayang dekat Sal. Banyak kali mak terasa hati dengan Sal bila Sal sibuk dengan kawan Sal. Lepas ni jangan buat lagi ya nak ya? Mak sayang Sal. Takpe. Mak dah ampunkan Sal. Moga Sal betul-betul insaf ya sayang?" balas Puan Aminah dalam sendunya. Rajuknya yang tadi telah hilang bila melihatkan keadaan Sal yang beria meminta maaf itu.
p/s : Utamakan Keluarga Dahulu berbanding kawan, teman mahupun sahabat. Kerana apa? kerana kita lahir dari keluarga (perut ibu), insan pertama kita lihat di dunia adalah keluarga (mak ayah adik beradik), insan yang memberi kita makan adalah keluarga (mak dan ayah), perkataan pertama yang terpacul di mulut kita adalah keluarga (mak, ayah, papa, mama, mummy, daddy, ibu, abah). Oleh itu, muliakanlah keluargamu sebelum orang lain.
Pesanan untuk diri sendiri juga :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan